Monday, November 20, 2006

Nana Tanjung haru biru di pawagam...


Nana Kassim, seorang duda, hidup bersama tiga anak daranya, Khairunisa, Balqis dan Siti Hajar. Khairunisa, anak sulung berusia 25 tahun ialah seorang gadis cantik, sopan dan tidak pernah membantah cakap bapanya. Balqis, 22 tahun, sudah bekerja dan si bongsu, Siti Hajar yang masih belajar agak nakal dan satu-satunya anak yang berani bersuara.
Dalam diam, Khairunisa dan Balqis mempunyai kekasih. Khairunisa bercinta dengan Akhbar Khan, seorang ejen pencari jodoh manakala teman lelaki Balqis pula ialah Dzulkarnain. Itu, sehinggalah kehadiran Pak Mydin, juga seorang ejen pencari jodoh yang mahu mencarikan suami untuk anak-anak Nana Kassim.Akhbar cuba meleraikan kekusutan itu dengan menjadi pembantu khas Nana Kassim. Pelbagai cara dibuat Akhbar bagi menggagalkan usaha Pak Mydin demi menyelamatkan cintanya dan Khairunisa, juga dalam perhubungan Balqis dan Dzulkarnain.
Nana Kassim, di sebalik kesibukan dengan keluarga dan kumpulan borianya, dia sebenarnya duda yang kesunyian dan kesempatan itu digunakan Akhbar dengan memperkenalkannya kepada Mami Mumtaz. Tanpa diduga, Mami adalah bekas kekasih Nana Kassim.
Satu hari, Nana Kassim mengumumkan mahu mengahwini Mami Mumtaz. Soal jodoh Khairunisa dan Balqis jadi kelam kabut, dan bertambah kecoh apabila Siti Hajar pula disyaki sudah jatuh hati dengan Akhbar. Lalu, bagaimana dengan kesudahan nasib dan jodoh keluarga Nana ini?
NANA TANJUNG haru biru di panggung seluruh negara mulai 9 NOVEMBER ini.
Nana Tanjung dibintangi oleh Saiful Apek sebagai Akhbar Khan, Piee (Nana Kassim), Fasha Sandha (Kharunisa) , Waheeda (Balqis), Jehan Miskin (Dzulkarnain) dan Ainul Aishah (Siti Hajar). Filem ini merupakan arahan Prof Madya A.Razak Mohaideen.

No comments: